Dilahirkan di Gombak, Kuala Lumpur pada 18 Disember 1949. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Setapak, Kuala Lumpur. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Seni Rupa (B.F.A.) daripada Sekolah Tinggi Seni Rupa (SRI) pada tahun 1973 di Yogyakarta, Indonesia, ijazah Sarjana Sastera (1980) daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan ijazah Doktor Falsafah daripada Universiti Malaya (1992).

Siti Zainon Ismail memulakan kerjayanya sebagai Jurulatih Seni Lukis di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan setelah lulus dari ASRI. Beliau mengendalikan sesi latihan lukisan untuk kanak-kanak di Taman Budaya dan kemudian berpindah ke Pasar Seni, Jalan Belanda. Kemudian beliau berpindah tugas dengan menjadi pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu, UKM sehingga sekarang. Selain itu, beliau juga pernah menjadi Fellow Penyelidikan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (1994-1996) dan Pengarah Kebudayaan UKM (1996-1999). Kini Siti Zainon merupakan Professor Madya di UKM.

Siti Zainon memiliki bakat besar dalam bidang lukisan dan penulisan karya kreatif. Memenangi hadiah lukisan bermula pada tahun 1961. Beliau juga telah mengadakan pameran 28 lukisan batik. Sejak tahun 1967 beliau telah menghasilkan tulisan dalam pelbagai genre seperti puisi, cerpen, novel, esei/kritikan, rencana serta kajian sastera dan budaya Melayu. Beliau telah menghasilkan lebih 10 buah kumpulan puisi antaranya The Moon is a Candle (1996), Taman-taman Kejadian (1996) dan Bunga-bunga Bulan (1980), 3 buah kumpulan cerpen iaitu Attar di Lembah Mawar (1998), Bunga Putik Putih (1992), dan Seri Padma (1984). 4 buah novel pula ialah Pulau Renek Ungu (1995), Rembang Flamboyan (1995), Kembara Seni Siti (1996) dan Zikir Pelangi-The Rainbow Siti Zainon (2000). Manakala antara buku kajian beliau ialah Busana Melayu Johor (1996) dan Kembara Budaya Aceh (1999).

Sebagai penyair, beliau begitu dikenali di rantau Nusantara. Siti Zainon sering diundang untuk membacakan puisinya di dalam dan juga di luar negara seperti di Bali, Indonesia (1985), Brunei (1986), Thailand (1986), Jerman (1986), Korea Selatan (1986) dan juga London (1992). Puisi-puisi beliau juga telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dunia seperti Inggeris, Bulgaria, Hindi, Urdu, Jepun, Thai, Perancis, Russia dan Korea.

Sepanjang penglibatan ini, beliau telah dianugerahi dengan pelbagai hadiah. Antaranya ialah Hadiah Lukisan Batik (1967/68), Hadiah Esei (1988), Penghargaan Seni daripada Seoul Country Club, Korea (1986), gelaran Tengku Nyah Fakinah, Aceh (1990), dan Professor Luar Biasa Jabal Ghafur, Aceh (1996). Pada tahun 1989, beliau menerima Anugerah S.E.A. Write. Beliau juga telah menerima pingat Jubli Perak Sultan Selangor pada tahun 1986. Di samping itu beliau juga menjadi Ahli Lembaga, Balai Seni Lukis Negara (1991-93), Ahli Majlis Sastera Nusantara (1997), AJK Anugerah Seni Negara (1996-99), Ahli Lembaga Muzium Negeri Selangor (1995) dan Ahli Majlis Kebudayaan Selangor (1995).

© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAK CIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my