MALAYSIA terkenal sebagai "Hindia Timur British" dan "Pulau Rempah Timur". Terletak di Asia Tenggara, ke utara garis lintang Khatulistiwa, Malaysia merupakan sebuah negara yang sungguh indah dan memiliki keajaiban semula jadi. Pantai pasirnya yang putih, pulau-pulaunya yang indah, hutan-hutan tropikanya yang masih "dara", gunung-ganangnya yang menawan, flora dan faunanya yang pelbagai dan menghijau segar, keramahan dan kemesraan penduduknya merupakan sesuatu yang paling istimewa di dunia sebelah sini.

Negara ini terbahagi kepada dua wilayah Semenanjung Malaysia (yang mengandungi 11 buah negeri, iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Kelantan, Terengganu, dan Johor yang terletak di antara negara Thailand dan Singapura), dan negeri Sabah dan Sarawak di wilayah utara Pulau Borneo. Semuanya itu meliputi kawasan seluas 330 434 kilometer persegi dengan Laut China Selatan merentasi 550 kolimeter antara kedua-duanya. Dari segi iklimnya pula, tidak ada musim tertentu dan suhunya berbeza sedikit sepanjang tahun dalam lingkungan antara 21 hingga 32 darjah selsius.

Malaysia sebuah negara berbilang kaum dengan jumlah penduduk hampir 20 juta orang. Penduduk yang berbagai-bagai keturunan ini sebahagian besarnya orang Melayu dan Bumiputera, Cina, India dan kaum Orang Asli. Kemampuan penduduk pelbagai kaum boleh hidup dengan aman dan harmoni merupakan sesuatu yang amat dikagumi; Malaysia telah dipuji oleh banyak negara kerana kejayaannya dalam mengatasi masalah integrasi sosial. Penduduknya yang saling menghormati budaya, kepercayaan agama, dan cara kehidupan kaum lain bukan sahaja telah mewujudkan suasana dan persekitaran yang aman dan damai, tetapi juga telah menghasilkan kestabilan politik dan kemantapan ekonomi bagi negara ini. Sungguhpun kaum-kaum itu bertutur dalam bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) dan bahasa kaum masing-masing, namun bahasa Inggeris tetap digunakan. Oleh yang demikian, pelancong yang boleh berbahasa Inggeris tidak menghadapi sebarang masalah untuk berkomunikasi dengan penduduk Malaysia.

Sebagai pelancong Malaysia, anda berpeluang untuk menghayati warisan budaya dan sejarahnya menikmati berbagai-bagai jenis masakan yang menyelerakan, membeli-belah, dan melakukan pelbagai kegiatan yang menyeronokkan seperti mengembara.

FLORA DAN FAUNA
Mal
aysia yang beriklim tropika mempunyai hutan hujan yang subur, di dalamnya hidup pelbagai serangga, burung dan haiwan. Setengah-tengah hutan masih belum lagi diterokai selama berjuta-juta tahun lamanya. Ada kira-kira 15 000 jenis pokok, bunga-bungaan, dan jenis-jenis pokok lain yang telah direkodkan, termasuklah pokok Bunga Raya (bunga kebangsaan Malaysia) dan sejenis tumbuhan yang jarang-jarang ditemui dan ganjil yang memakan serangga, iaitu pokok Pitcher. Terdapat juga bunga-bunga orkid yang berbagai-bagai warna dan jenis.

Di bawah teduhan hutan rimba yang hijau terdapat pula berbagai-bagai jenis kehidupan liar - antaranya harimau, gajah, seladang, badak, orang hutan, monyet dan kera, babi hutan, rusa dan berbagai-bagai warna dan jenis burung yang hinggap dari dahan ke dahan berkongsi hidup dengan ular sawa, ular tedung dan tupai.

Taman Negara dilengkapi dengan segala kemudahan bagi membantupelancong-pelancong menikmati suasana hutan tropika dan memerhati burung-burung, haiwan dan kehidupan hutan yang lain di kediaman semula jadi masing-masing. Dan, untuk menjadikan lawatan ke Malaysia sebagai sesuatu yang benar-benar membawa kenangan, rakyat Malaysia yang ramah dan mesra sentiasa mengalu-alukan kedatangan anda dan bersedia membantu bila-bila sahaja dan di mana-mana jua.


Selamat berkunjung Ke Malaysia!

© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAKCIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster ppat@dbp.gov.my