WWW. SIBERMERDEKA.COM.MY

Dalam kebun diriku
aku tanam saujana rancangan
untuk memerdekakan warga susahku
hidup menentang senja dan malam

Dalam parlimen diriku
aku bahas isu onak dan enak
untuk ku merdekakan warga fikirku
mengelak hidup dikotak-katikkan.

Dalam laut diriku
ombak gelora menampar pantai aman
untuk menguji amal dan iman

Dalam gergasi diriku
terpedaya jua oleh permainan si kancil
namun sempat sedar dan beringat lagi.

Dalam pentas diriku
aku berlatih menangkis angin
aku berlatih memunggah awan
menghayati skrip demi skrip
yang tak diduga klimaksnya

Dalam dewan diriku
aku tak cemas lagi
oleh kata yang mengekang
aku tak lemas lagi
oleh kata yang menyerang.

Apabila siber merdeka sampai
ke rumah cabaranku
aku panggil diriku bermesyuarat
menyokong, berkecuali atau menentang
aku ambil keputusan
waktu itu aku kenal batas diri
untuk tidak mengulangi kekalahan.

Kini, kapal diriku telah berlabuh

di pangkalan usia

aku turun darinya

menghadapi hidup nyata

peristiwa datang peristiwa pergi
bagai siang memanggil malam
dan siber merdeka terus berkaca
terusmengalir arus ingatan:
Elakkan dirimu menjadi sia-sia
hamparkan dirimu di persada Tuhan.

Bandar Baru Bangi, 15 Januari 2001

AGI atau Abdul Ghafar Ibrahim, anak merdeka yang telah banyak mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa dalam bidang kesenian. AGI lahir pada 31 Ogos 1943 di Kampung Sesapan Minangkabau, Beranang Selangor. Beliau terlibat hampir dalam semua bidang seni; sebagai pelukis, penyair, deklamator puisi, pelakon pentas, dan penulis skrip drama, selain bergiat sebagai aktivis sastera.

AGI pernah menjadi penulis tamu di School of Letters, International Writing Program, University of lowa, Amerika Syarikat (1974-1975). Beliau mengikuti pengajian seni halus di College of Visual and Performing Arts, Northern Illinois University, DeKalb, Amerika Syarikat dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda Seni Halus pada tahun 1976. Kemudian, beliau menlanjutkan pengajian pada peringkat sarjana di Eastern Illinois University, C
harleston, Amerika Syarikat dan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1977.


© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAK CIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my