Pagi di Pelabuhan


Pagi di Pelabuhan
Menatap Pulau Singa kian membesar
Menimbus rumah-rumah ikan
Sarang ketam dan selut kerang
Sedih menangis kematian makhluk alam.

Kapal-kapal berangkat
Datang dan pergi
Kisah semalam dalam lipatan
Hanyir minyak tumpah
Meliputi perairan
Dugong tersedu
Hilang pedoman.

Pagi di pelabuhan
Perjalanan bermula di sini
Dunia adalah kecil bagi pelaut
Sisa-sisa yang tinggal
Melukakan kehidupan.

Gunawan bin Mahmood dilahirkan di Parit Raja, Batu Pahat, pada 19 Januari 1959 dan dibesarkan di Felda Ulu Tebrau, Johor. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah LKTP Ulu Tebrau dan Sekolah Aminudin Baki, Johor Bahru. Mendalami pengetahuan sastera melalui Kuliah Tertulis Falkutas Bahasa dan Sastera, Universiti Nasional Jakarta (UNAS), di bawah bimbingan Profesor Ghazali Dunia mulai tahun 1988 hingga 1994. Kini melanjutkan pelajaran melalui pengajian jarak jauh pada peringkat doktor falsafah di University Berkeley, Southern California.

Telah berkhidmat di Jabatan Penerangan mulai tahun 1982. Antara jawatan yang disandang ialah Pegawai Penerangan Kawasan Sungai Besi, Pegawai Penerangan Daerah Johor Bahru, Penolong Pengarah Melaka, Penolong Pengarah Johor, Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan, dan kini bertugas sebagai Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas Negeri Johor.

© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAK CIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my