Gambaran Silam

Kurenung wajahmu
di muka jendela
beberapa tahun dahulu

Gambaran itu
mengekalkan wajahmu
yang masih remaja

Kini berpuluh tahun telah berlalu
teman yang kupijak masih basah di tapak kakiku
melur putih masih tercium baunya
di manakah engkau berkelana?

Aku beransur tua
engkau masih gadis belasan tahun
Segar dan rupawan...
dalam ingatan

Dato' Baharuddin Zainal dilahirkan pada 22 Mei 1939 di Batu 15, Hutan Melintang, Perak.Mendapat pendidikan awal di Sabak Bernam, Selangor. Meneruskan pelajaran di Anglo Chinese School, Sekolah Anderson, Ipoh, dan lulus Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya pada tahun 1963. Berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka mulai Julai 1963. Sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Pengarah, beliau menjadi Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Menamatkan perkhidmatan dari Dewan Bahasa dan Pustaka pada akhir tahun 1984. Beliau meneruskan kerjayanya dalam bidang perniagaan sehingga sekarang. Baha Zain menulis esei, kritikan, puisi, dan cerpen. Cerpennya pernah memenangi Hadiah Karya Sastera. Antara karyanya ialah Perempuan dan Bayang-bayang (1974), Mendekati Kesusasteraan (peny.) (1975), Dari Catatan Tengah Malam (1978), dan Esei dan Puisi (2000). Baha Zain mendapat S.E.A. Write Award pada tahun 1980 dan dikurniai bintang Darjah Cur Manja Kini (PCM) oleh Sultan Perak pada tahun 1986, Darjah Kesastria Mangku Negara (KMN) oleh Yang di-Pertua Agong pada tahun 1982, dan Darjah Dato' Paduka Perak (DPMP) pada tahun 1998).

 


© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAK CIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my