KARYAWAN MALAYSIA
_________________________________________________________________
Datuk Dr. A. Samad Said
ABDUL SAMAD BIN MOHAMMED SAID atau nama penanya A. Samad Said, Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra,dan Shamsir dilahirkan pada 8 Februari 1932, di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. A.Samad Said merupakan sasterawan negara yang menghasilkan pelbagai genre, iaitu sajak, drama, cerpen, dan novel. Di samping itu, A. Samad turut menghasilkan karya bukan kreatif seperti esei, catatan, autobiografi, nota perjalanan dan pengembaraan, kritikan, bicara karya,dan panduan penulisan.

Sehingga kini A. Samad Said telah menghasilkan 13 novel, 10 novel remaja, 9 antologi cerpen, sajak dan drama, 14 antologi karya bersama serta berpuluh-puluh karya bukan kreatif. Novel A. Samad Said yang dihasilkan ialah Salina (1957), Sungai Mengalir Lesu (1967), Di Hadapan Pulau (1978), Langit Petang (1980), Adik Datang (1980), Daerah Zeni (1985), Hujan Pagi (1987), Cinta Fansuri (1989), dan Bulan Tak Bermadu Di Fatehpur Sikri (1992).

Novel-novel remaja A. Samad Said pula penuh dengan unsur pendidikan seperti Bendera Merah di Atas Bukit (1968), Lima Kawan ke Rumah Rahsia (1968), Jangan Ikut Jalan Ini (1969), Yang Berat Sama Dipikul (1969), Mengajar Tetamu di Waktu Senja (1974), Kaledang (1979), Antara Kabus ke Kabus (1980), Di Simpang Jalan (1980), Jalan Retak (1980, dan Adik Datang (1980).

Antara antologi cerpennya ialah Debar Pertama (1964), Ke Mana Terbangnya Burung Senja (1996), Liar Di Api (1962) dan Daun-daun Berguguran (1962). Antologi sajaknya: Benih Harapan (1973), Daun Semalu Pucuk Paku (1975), Benih Semalu (1975). Sajaknya yang terpanjang ialah Al-Amin (1999) dan kumpulan sajak terbaru ialah Suara Dari Dinding Dewan (2003).

Manakala drama A. Samad Said ialah Di mana Bulan Selalu Retak (1965), Wira Bukit (1986), dan Lantai T. Pinkie (1960). Terdapat juga buku memoir seperti Warkah Eropah (1991), dan catatan proses kreativitinya dalam buku Dari Salina ke Langit Petang (1979).

Pencapaian dan sumbangan A. Samad Said dalam memperkaya dan memartabatkan kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan kerajaan apabila beliau menerima pelbagai anugerah. Antaranya termasuklah Pejuang Sastera (1976) SEA Write Award (1979), Sasterawan Negara (1985), dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris pada 16 Ogos 2003. Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A. Samad Said juga telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.
 
Menerima Anugerah Sastera Negara daripada Yang Di Petuan Agong
Datuk Dr. A. Samad Said
4-9-96, Pangsapuri Bangsar Utama,
59000 Kuala Lumpur.