KARYAWAN MALAYSIA
_________________________________________________________________
Dato' Baharuddin Zainal
BAHA ZAIN atau nama sebenarnya Baharuddin Zainal, dilahirkan pada 22 Mei 1939, di Batu 15, Hutan Melintang, Perak. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1963 di Universiti Malaya dan Sarjana Sastera di Universiti Indonesia Jakarta, pada tahun 1972.

Baha Zain pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1963 sehingga menamatkan perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Pengarah pada tahun 1984. Kemudian beliau berkecimpung dalam dunia perniagaan dalam bidang penerbitan.

Dalam ujana kesusasteraan tanah air, Baha merupakan aktivis yang aktif dalam memartabatkan sastera dan bahasa di persada antarabangsa. Keringat dan cetusan fikirannya banyak dicurahkan ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah, Ketua Bahagian Pengembangan Sastera, Ketua Pengarang Majalah Dewan Sastera dan Dewan Budaya, dan sidang pengarang jurnal Tenggara. Kini, beliau meneruskan sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu di syarikat penerbitannya, Pustaka Cipta Sdn. Bhd. Yang menerbitkan karya sastera dan bahasa di persada tanah air.

Baha Zain menulis esei, kritikan, puisi, dan cerpen. Beliau juga menyusun semula Hikayat Bakhtiar, Hikayat Omar Umayyah, dan Hikayat Cekal Waneng Pati. Namun dalam genre puisi merupakan pilihan utamanya. Banyak puisinya termuat dalam beberapa antologi bersama dan empat buah kumpulan puisinya telah diterbitkan, iaitu Perempuan dan Bayang-Bayang, Dari Kertas Catatan Tengah Malam, dan Tiga Catatan Perjalanan (Three Sketches from A Journey) dalam dwibahasa. Dalam genre kritikan pula, Baha Zain bukan sahaja sebagai pengkritik yang disegani malah gaya penulisannya menarik dengan cetusan fikirannya yang mengajak khalayak berfikir.

Baha banyak melibatkan diri dalam kegiatan sastera, bahasa, dan budaya. Dalam tahun 1972, beliau menghadiri Persidangan Bahasa Kebangsaan Negara-negara Asia di Manila, kemudian dalam tahun 1974, beliau menyertai Kongres Puisi Dunia Kedua di Taipei dan beberapa pertemuan lain di Jepun, Korea, dan sebagainya. Selain itu, Baha juga menjadi Lembaga Amanah, Yayasan Penataran Ilmu sejak 1986 hingga kini, Presiden Ikatan Penerbit Buku Bumiputera Nasional (1989-1994), Timbalan Presiden PPM (1985-1991), dan sebagainya.

Kecemerlangan, ketokohan, dan sumbangannya terhadap kesusasteraan Melayu, bahasa, dan budaya diiktiraf melalui pelbagai anugerah. Antara yang diperolehnya ialah SEA Write Awards (1980), Anugerah penyair GAPENA (1988), Darjah Cura Simanja Kini (P.C.M) daripada DYMM Sultan Perak (1986), Darjah Kesastria Mangku negara (1982), dan Darjah Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) pada tahun 1998 yang membawa gelaran Datuk.

 
Dato' Baharuddin Zainal
Pustaka Cipta Sdn. Bhd.,
59-2, Jalan 5/76B,
Desa Pandan,
55100 Kuala Lumpur