______________________________________________
SHAHNON AHMAD dilahirkan pada 13 Januari 1933 di Banggul Derdap, Sik, Kedah. Beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Sultan Abdul Hamid, Alor Setar hingga lulus Sijil Persekolahan. Kemudian beliau menjadi guru di Grammar English School, Kuala Terengganu pada tahun 1954, kemudian menjadi Pegawai Tentera di Port Dickson, Negeri Sembilan (1955-1956). Beliau kembali bertugas sebagai guru dan mengajar bahasa Inggeris di Sekolah Melayu Gunung dan Sekolah Bukit Besar, Kedah (1957-1959). Pada tahun 1960, beliau menjadi guru bahasa di Maktab Sultan Abdul Hamid hingga tahun 1963. Kemudian beliau mengajar sastera di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim hingga tahun 1967.
Pada tahun 1968, beliau berangkat ke Canberra, Australia dan bertugas sebagai Pegawai Penyelidik di Australian National University dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda (1971). Beliau kemudian menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Pada 1975, beliau memperoleh Ijazah Sarjana Sastera dan dilantik menjadi Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia (USM) (1979). Pada Jun 1980, Shahnon dilantik menjadi profesor sastera (USM) dan menjadi profesor kesusasteraan Melayu moden pada tahun 1982. Beliau juga dilantik menjadi Pengarah Pusat Islam. Shahnon giat menulis sejak pertengahan tahun 1950 dalam genre novel, cerpen, drama, kajian, esei/kritikan dan wawancara. Antara novel terkenal beliau ialah Rentong, Ranjau Sepanjang Jalan, Srengenge, TIVI dan Shit. Antara anugerah yang pernah dimenangi beliau ialah Hadiah Karya Sastera (1971-1973), "Pejuang Sastera" oleh Perdana Menteri pada tahun 1976, Anugerah Sastera Negara (1982), dan Anugerah ASEAN II Kebudayaan, Komunikasi dan Persuratan Kesusasteraan (1990). Pada tahun 1980, beliau dianugerahi Pingat Darjah Kebesaran Datuk Setia Diraja Kedah oleh Yang Maha Mulia Sultan Kedah yang membawa gelaran Datuk. Kini beliau merupakan wakil rakyat Parlimen Sik.



© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAKCIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my