______________________________________________

Dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Dia menerima pendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura (1940-1946), Victoria Institution sehingga memperolehi Sijil Senior Cambridge (1956). Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976 bersama beberapa pengarang lain beliau telah diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.
Tahun 1979 turut memberi erti pada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award). Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara 1985. Dalam majlis penganugerahan itu telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit. Dalam bidang penulisan, A. Samad Said turut menggunakan nama pena Hilmy, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra dan Shamsir

© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAKCIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my