______________________________________________

MUHAMMAD BIN ABDUL BIANG @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyung atau nama penanya Arena Wati, Duta Muda dan Patria dilahirkan pada 30 Julai 1925 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia. Pengalaman kerjaya Arena Wati bermula sebagai kelasi kapal, sidang penerbitan majalah dan akhbar di Harmy dan Royal Press di Singapura, Penerbitan Melayu Ltd. Johor Bahru, Percetakan Light di Brunei, Pustaka Antara Kuala Lumpur, pegawai penyelidik di Yayasan Sabah, Karyawan Tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia (1985-1989) dan di Dewan Bahasa dan Pustaka (1989-1990), Fellow di pelbagai universiti antarabangsa seperti di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (1983-1984), di Universiti Leiden (Februari - Jun 1984), dan di Universiti Kyoto, Jepun (Julai 1984 - Januari 1985). Kini beliau penulis sepenuh masa yang aktif berkarya.
Berbekalkan pengalamannya yang luas mengharungi samudera, penerbitan dan dunia akademik, secara kreatif Arena Wati mengadunkannya melalui cerpen, novel, puisi, dan esei/kritikan. Dalam genre novel dan cerpen yang dihasilkannya, Arena Wati banyak mengangkat pengalaman hidup di persekitarannya terutama kisah alam samudera dan kemanusiaan sebagai bahan cerita. Sehingga kini beliau telah menghasilkan sepuluh buah novel, lebih 80 buah cerpen, 12 buah puisi, 24 esei/kritikan. Tiga buah kumpulan cerpen dan sepuluh buah buku kajian.

Beliau banyak memenangi hadiah sayembara sastera. Antaranya ialah hadiah sagu hati Peraduan Mengarang Novel anjuran DBP (1962) menerusi novelnya Lingkaran, pemenang tempat ketiga menerusi Sandera dalam Peraduan Mengarang Novel sempena 10 Tahun Merdeka. Novelnya Panrita pula dipilih sebagai pemenang Hadiah Karya Sastera Malaysia 1992/1993, dan novelnya yang terbaharu Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 1998/99. Manakala cerpen beliau "Wisata" terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera 1971, "Bukan Satu Jalan ke Mekah" dan "Alun Menggulung Perlahan" memenangi Hadiah karya Sastera 1972.

Kesungguhannya menghasilkan karya dan mengabdikan dirinya dalam persada kesusasteraan tanah air mewajarkan beliau dipilih sebagai penerima Ahli Mangku Negara (1973), S.E.A Write Award (1985), dan Anugerah Sastera Negara (1987), Anugerah MASTERA 1 pada 9 Mac 2003 dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidikan Kesusasteraan dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada 18 Ogos 2003.


© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAKCIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my