Klik butang untuk Biografi Penerima Anugerah S.E.A Write

S.E.A. Write Award adalah Anugerah Penulis-penulis Asia Tenggara yang diwujudkan bagi mengiktiraf para penulis dan penyair terkemuka di negara-negara rantau ASEAN. Negara-negara ASEAN termasuklah Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Sebagai penghargaan kepada tradisi kesusasteraan, Anugerah S.E.A. Write telah diwujudkan pada awal tahun 1979 untuk menggalak para penulis di negara-negara ASEAN berkarya dan juga sebagai pengiktirafan kepada bakat dan kreativiti karya mereka.

Anugerah S.E.A. Write mendukung beberapa objektif,iaitu:
Untuk mengiktiraf kreatif para penulis dari negara-negara rantau ASEAN.
Untuk mewujudkan kesedaran dan kefahaman yang meluas tentang khazanah kesusasteraan di kalangan 10 buah negara ASEAN.
Untuk menghormati dan mengetengahkan bakat dalam kesusasteraan di kalangan penulis kreatif di negara-negara ASEAN.
Untuk menghimpunkan bakat penulis-penulis ASEAN.
Suatu keunikan dalam penyelenggaraan pemilihan penerima anugerah ini iaitu para penerima dipilih oleh jawatankuasa pemilihan sesebuah negara ASEAN itu sendiri.

Pada umumnya tarikh tutup penyertaan untuk anugerah ini ialah pada akhir April setiap tahun, dan penerima akan diumumkan pada bulan Ogos tahun yang sama. Mereka yang layak menyertai pencalonan ini termasuklah organisasi, intitusi yang mempunyai kaitan dengan hasil kesusasteraan, para penerbit, pakar dalam bidang sastera, para penulis, pengkritik dan para pembaca karya sastera
.
Terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan, iaitu:
Karya itu mestilah asli
Karya mestilah relevan dengan negara atau rantau yang didiami oleh penulis.
Karya yang dicalonkan adalah dalam bentuk kreatif dan bukan kreatif seperti novel, cerpen, cerita rakyat, mitos, cerita bukan fiksyen, legenda, puisi dan kisah teladan.
Karya mestilah diterbitkan dalam jangka masa tiga tahun dari tahun penyertaan.
Karya hendaklah ditulis dalam bahasa yang dituturkan di negara peserta.
Karya penulis mestilah pernah menyumbang kepada perkembangan budaya dan sastera di negaranya.
Penerima anugerah akan dipilih tanpa mengira bangsa, jantina, agama dan masih hidup semasa pencalonan.

© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAK CIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my