Klik butang untuk Biografi Penerima Hadiah Sastera Mastera Malaysia
PENGENALAN

Penubuhan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) pada 12 Ogos 1996, di Kuala Lumpur, Malaysia, adalah bertujuan untuk mewujudkan kerjasama antara negara rantau ini demi membina dan mengembangkan sastera berbahasa Melayu/Indonesia.

Salah satu program Nusantara, sebagai mana yang termaktub dalam Deklarasi MASTERA, ialah Hadiah Sastera MASTERA. Hadiah ini adalah salah satu bentuk inisiatif yang dipersetujui oleh ketiga-ketiga negara anggota pendiri, iaitu Malaysia, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia bagi memenuhi pernyataan yang berikut:

"Mengusahakan peluang-peluang bersama untuk para sasterawan memajukan bakat, penterjemahan penerbitan, dan pengiktirafan terhadap pencapaian mutu ciptaan sastera".

TUJUAN
  • Mengenal pasti karya-karya sastera asli pelbagai genre yang bermutu yang ditulis dalam bahasa Melayu/Indonesia, atau yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu/Indonesia di negara-negara rantau Asia Tenggara, yang menjadi anggota MASTERA.
  • Memberikan pengiktirafan bertaraf rantau kepada karya-karya bermutu, yang diterbitkan pada tahun penilaian, iaitu selama tempoh dua tahun.
DASAR PELAKSANAAN

 

  • Hadiah diberikan kepada karya sastera kreatif dan bukan kreatif yang diterbitkan dalam bentuk buku, dalam tempoh dua tahun sebelum tahun penilaian oleh negara-negara anggota MASTERA, atau karya-karya sastera oleh para penulis negara-negara anggota MASTERA yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu/Indonesia.
  • Hadiah diberikan kepada sebuah karya kreatif terbaik daripada mana-mana genre bagi setiap negara dalam sesuatu tahun penilaian; dan sebuah karya bukan kreatif bagi ketiga-tiga negara;
  • Hadiah diberikan setiap dua tahun sekali.
SKOP PENILAIAN KARYA
  • Karya yang dinilai adalah dalam bidang sastera, sama ada berbentuk kreatif dan bukan kreatif, yang meliputi jenis karya atau genre seperti yang berikut:
  • KARYA KREATIF (Satu karya terbaik bagi setiap negara)
    • Kumpulan Puisi
    • Kumpulan Cerpen
    • Novel
    • Drama Pentas/Kumpulan Drama Pentas.
  • KARYA BUKAN KREATIF (Satu hadiah bagi karya terbaik antara negara)
    • Kajian Sastera/Kumpulan Esei/Kritikan
KRITERIA PENILAIAN
  • Kekuatan kesatuan organik karya.
  • Kekuatan dan keaslian persoalan yang ditampilkan secara matang.
  • Keseimbangan estetika bahasa dengan persoalan kemanusiaan.
  • Keindahan moral.
  • Kesesuaian nilai.
  • Inovasi dalam kreativiti.

 

HADIAH
  • Bagi karya kreatif, hadiah wang tunai bernilai RM 10,000.00 diberikan kepada setiap karya yang terbaik dari setiap negara anggota, di samping hadiah iringan yang berupa plak dan sijil.
  • Bagi karya bukan kreatif pula satu hadiah bernilai RM 10,000.00 disediakan bagi karya kreatif terbaik.
  • Bagi tujuan promosi, setiap karya yang menang akan dilekatkan khas: Hadiah Sastera MASTERA (tahun).

© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAKCIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my