Klik butang untuk Biografi Penerima Anugerah MASTERA Negara Brunei Darussalam
ARENA WATI (MALAYSIA)
 

(Muhammad bin Abdul Biang @ Andi Muhammad Dahlan bin Andi Buyong)
Lahir: 30 Julai 1952 di Kalumpang Kabupatan, Jeneponto, Makassar, Indonesia.

ARENA WATI tidak pernah termimpi untuk menjadi penulis. Yang sering diimpikannya adalah untuk menjadi pelaut yang berjaya. Maka itu, beliau meninggalkan kesenangan yang harus dimilikinya semata-mata kerana mahu menjadi seorang pelaut. Beliau sanggup menolak kemungkinan untuk menjadi seorang pelajar dan ulama seperti yang dikehendaki oleh keluarganya. Beliau tetap dengan cita-citanya mahu menjadi seorang pelaut dan merantau ke negeri orang.

Itulah impian Arena Wati yang akhirnya ternyata tidak terlaksana. Sebaliknya akhirnya terbukti menjadi penulis yang cukup berpengalaman. Pengalaman telah membentuknya menjadi penulis. Sasterawan yang menghasilkan sejumlah besar karya sastera ini pernah menyatakan bahawa segala-galanya bermula apabila meletusnya Perang Dunia Kedua dan beberapa hari setelah Singapura dibom oleh tentera Jepun.

Arena Wati bersekolah di sebah sekolah Belanda di Makassar sebelum sekolah itu ditutup akibat perang. Dengan penutupan sekolah itu, lalu pada tahun 1943, beliau memulakan penghidupannya sebagai pelaut bersama beberapa orang temannya, dengan membawa barang-barang dagangan kapal yang dimuat ke kapal dan belayar berulang-alik ke beberapa tempat di kepulauan Indonesia termasuk Singapura dan Pulau Pinang. Pengalamannya yang cukup luas dalam dunia pelayaran ini membolehkan beliau cepat meningkat dan telah diangkat menjadi nakhoda kapal walaupun usianya baru meningkat 17 tahun. Kapal beliau juga termasuk di dalam kumpulan kapal-kapal dagang di Singapura yang berjumlah 40 buah semuanya dan belayar membawa barang-barang dagangan ke merata-rata tempat termasuk Bangkok, Ranggon, dan tempat-tempat lain.

Sewaktu belayar berulang-alik itu, minat membacanya semakin bertambah. Beliau amat rajin membaca buku-buku cerita yang membanjiri pasaran pada ketika itu. Malah, hingga ke hari ini pun apabila ditanyakan tentang kegemarannya suka membaca itu, Arena Wati pasti mengatakan bahawa soal membaca sudah menjadi semacam 'candu' kepadanya.

Pada tahun 1948, Arena Wati hampir-hampir ditawarkan menjadi gunner di dalam sebuah kapal, tetapi tawaran itu dibatalkan kerana beliau bukan rakyat British di Singapura, walaupun beliau mempunyai pengalaman menjadi jurumudi pada sebuah kapal Belanda. Pembatalan tawaran jawatan itu amat mengecewakannya. Cita-cita Arena Wati untuk terus meningkat dalam dunia perkapalan mula menghadapi kegagalan. Untuk itu, beliau pulang semula ke Makassar dan cuba memohon memasuki Sekolah Pelayaran di sana. Sementara itu keluarganya terus mendesak supaya beliau berhenti menjadi pelaut sehingga permohonannya untuk memasuki sekolah tersebut ditolak.

Arena Wati menerima bantuan yang cukup lumayan daripada keluarganya apabila beliau menerima dan memasuki Sekolah Menengah Islam di Makassar. Tetapi beliau tetap bosan dengan pelajaran dan apabila keluarganya tidak lagi mengirimkan bantuan, waktu itu beliau sedang belajar di Sekolah Menengah Atas, Arena Wati kembali bekerja sebagai Timbalan Ketua Perencana dalam Jabatan Angkutan, Angkatan Darat Territorium VII - Bahagian Pelabuhan. Beliau pernah mengikuti kursus Persiapan Akademi Dinas Luar Negeri yang kemudian membolehkannya menjadi seorang diplomat. Tetapi oleh sebab jawatan itu tidak sesuai dengan jiwanya, akhirnya Arena Wati membawa nasibnya ke Singapura.

Di Singapura beliau menjadi orang surat khabar, bekerja dalam banyak penerbitan majalah seperti Hiboran di Royal Press dan juga di Penerbitan Harmy. Tidak lama kemudian Arena Wati berpindah ke Johor Bahru bekerja dengan Penerbitan Melayu Ltd. selama kira-kira lima tahun (1957 - 1961). Dan sebelum berpindah kerja di Pustaka Antara, Kuala Lumpur, Arena Wati menjadi Ketua Penasihat Percetakan Light Di Brunei. Arena Wati pernah menjawat jawatan Pegawai Penyelidik di Yayasan Sabah mulai tahun 1974, Universiti Kebangsaan Malaysia telah memberi penghormatan kepada Arena Wati menjadi Karywan Tamu tahun (1985 - 1989), dan penulis Tamu, Dewan Bahasa dan Pustaka (1989 - 1990). Sebelum itu, Arena Wati pernah menjadi Fellow di Universiti Cornell, Amerika Syarikat (1983 - 1984), Fellow di Universiti Leiden, Belanda dari Februari 1984 - Jun 1984; dan Fellow di Universiti Kyoto, Jepun dari Julai 1984 - Januari 1985.

Arena Wati berketurunan Bugis dan nama "Arena Wati" yang digunakannya dalam dunia penulisan ternyata menenggelamkan namanya yang sebenar, Muhammad @ Mohd. Dahlan bin Abdul Biang. Beliau mula menulis ketika berusia 22 tahun sewaktu menuntut di Makassar setelah menghabiskan zaman remajanya sebagai pelaut. Ternyata pelbagai pengalaman yang diperolehinya selama sembilan tahun mengharungi samudera luas menjadikan beliau seorang perakam yang baik.

Arena Wati merupakan seorang sasterawan yang cukup serius dan amat berhati-hati dalam berkarya. Ketika menyiapkan Sandera, keluarganya tinggal di rumah lain di Kuala Terengganu dan beliau tinggal sendirian di Seberang Takir untuk menulis novel tersebut. Malah, ketika Arena Wati menyiapkan novel terbaharunya berjudul Royan, awal-awal lagi beliau telah meberi amaran kepada anak-anak dan isterinya supaya jangan mengganggunya bekerja.

Pernah diucapkannya kepada penulis-penulis Sabah dalam ceramahnya: bahawa kita penulis ini seperti orang pengandung, kalau sudah dapat idea maka saya terus saja berfikir tentang idea itu, saya berkarya di mana-mana saja; di dalam waktu bekerja, waktu makan, waktu mandi dan kalau boleh dalam mimpi pun mau terus berkarya...!

Itulah Arena Wati yang kita kenal sebagai penulis veteran yang gigih dan tekun. Tidak hairanlah kalau beberapa buah karyanya telah berhasil mengangkat namanya sebagai sasterawan yang cukup bertenaga. Beliau telah memenangi hadiah sagu hati Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (1962) dengan vonelnya Lingkaran (tajuk asal "Tumbangnya Pokok Tak Berlangit"). Kemudian Sandera semakin mengharumkan namanya sebagai pemenang ketiga Peraduan Mengarang Novel sempena 10 Tahun Merdeka. Novelnya Panrita memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1992/1993 di samping beberapa beberapa buah cerpen yang terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera. Cerpen-cerpennya "Wisata" terpilih memenangi Hadiah Karya Sastera tahun 1971, manakala "Bukan Satu Jalan ke Mekah" dan Alun Menggulung Perlahan" memenangi Hadiah Sastera 1972. Novelnya Sukma Angin memenangi Hadiah Sastera Perdana 1998/1985, beliau terpilih menerima SEA Write Awards di Bangkok.

Arena Wati merupakan sasterawan berpengalaman yang banyak idea dan beliau seorang seniman yang mampu berbicara tentang fikiran, falsafah, dan cita-cita bangsanya sebagaimana yang tergarap di dalam banyak karya yang dihasilkannya. Bolehlah dikatakan bahawa sebagai sasterawan beliau telah mengabdikan dirinya kepada sastera dan tidak dinafikan lagi bahawa Arena Wati adalah salah seorang tokoh yang amat penting dalam kesusasteraan Melayu moden.

Sasterawan yang berbakat, gigih dan banyak pengalaman ini terpilih sebagai Sasterawan Negara dalam tahun 1987, suatu pengiktirafan yang paling tinggi untuk seseorang sasterawan.

KARYA
Novel
Kisah Tiga Pelayaran; Jalan Malam ke Ibu Kota; Gelora; Lingkaran; Gandaria; Sandera; Eno; Rontok; Royan; Bunga dari Kuburan; Sakura Mengorak Kelopak; Kuntum Tulip Biru; Pantai Harapan; Citra; Sarida; Gami; Panrita; Mevrouw Toga; Sudara; Begawan; Sukma Angin; Busa Hati; Busa Sukma; Busa Kalbu.

Cerpen
Tingkah Manusia; Burung Badai; Johor Baru; Bara Batu; Ombak Samudera; Koleksi Terpilih Arena Wati; Getar-getir Maya.

Kajian

Bunga Rampai Dongeng Melayu (bersama Ehsan Kastawi); Perkembangan Kesusasteraan Melayu; Rampai-rampai Melayu Lama; Asas Pengetahuan Puisi; Bentuk Sastera; Cerpen Zaman Jepun: Satu Kajian; Jejak Kreatif; Cerpen: Pengalaman dan Tanggapan.

Umum
Sejarah Tanah Melayu dan Sekitarnya (bersama Wan Shamsuddin); Harith Fadhilah (disadur dan diolah kembali); Silsilah Melayu dan Bugis (dikaji dan disusun semula); Dusun; Syair Pengeran Syarif.

Autobiografi
Meniti Kala; Enda Gulingku - Memoir Arena Wati

© Dewan Bahasa dan Pustaka, Malaysia. SEMUA HAKCIPTA TERPELIHARA 2002
Segala kemusykilan sila kemukakan kepada webmaster pat@dbp.gov.my